Blog

Hati-hati kes curi kereta
Blog

Hati-hati kes curi kereta

SAUDARA PENGARANG,

KEJADIAN pecah cermin kereta dan kehilangan kenderaan semakin menjadi-jadi sekarang. Walaupun hampir semua memiliki sistem siren kecemasan, pencuri mempunyai cara dan teknik tersendiri untuk memecah masuk atau mencuri kenderaan.

Di pusat beli-belah misalnya, mereka bijak menjalankan operasi. Setelah mengenal pasti kenderaan yang mahu dijadikan sasaran, mereka hanya mengambil masa antara dua hingga tiga minit untuk menyelesaikan ‘kerja’ terbabit.

Untuk mengurangkan kes sedemikian daripada terus berlaku, seseorang perlu memastikan barang berharga seperti beg tangan, komputer riba dan telefon bimbit tidak ditinggalkan dalam kereta. Pengunci stereng perlu dipasang.

Pihak pengurusan pusat beli-belah perlu mengarahkan bahagian keselamatan mereka supaya meronda lebih kerap. Tidak wajar mereka hanya meletakkan notis menyatakan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan dan kecurian tanpa membuat langkah pencegahan lebih rapi.

Lagipun, kenderaan itu diletakkan di kawasan letak kereta berbayar milik pusat beli-belah terbabit.

Sebagai pengguna, kita perlu berhati-hati. Pemilik pusat beli-belah perlu juga mengambil langkah-langkah kawalan yang lebih berkesan.

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat

Leave your thought here